Pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin di antara 60 hari sehingga 90 hari bagi setiap kelahiran. Adakah bermakna pegawai boleh memohon Cuti Bersalin tidak kira sama ada 68 hari, 70 hari, 82 hari atau 85 hari?
Ya. Tempoh Cuti Bersalin yang dipohon adalah bergantung kepada pemilihan pegawai tertakluk kepada had tempoh di antara 60 hari sehingga 90 hari.
Pegawai perlu memenuhi tempoh minima selama 60 hari bagi setiap kelahiran. Bagi tempoh mulai 61 hari hingga ke 90 hari, pegawai perlu mengemukakan permohonan untuk pertimbangan Ketua Jabatan dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.
- Seorang pegawai telah diluluskan Cuti Bersalin selama 60 hari mulai 6 Jun 2018 hingga 4 Ogos 2018. Walau bagaimanapun, pada 1 Ogos 2018, Pegawai Perubatan telah mengesahkan pegawai menghidap kanser rahim tahap 2. Bolehkah pegawai diberikan Cuti Barah walaupun Cuti Bersalin minimum 60 hari tidak dipenuhi?
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5/2017 telah menjelaskan bahawa Cuti Sakit tidak boleh digunakan bagi maksud menggantikan tempoh Cuti Bersalin kecuali Cuti Tibi, Kusta dan Barah atau tempoh pegawai dimasukkan ke wad hospital kerana sakit bukan atas sebab bersalin.
Dalam hal ini, Pegawai boleh diluluskan Cuti Barah Bergaji Penuh bermula daripada 1 Ogos 2018, iatu tarikh pegawai mula disahkan menghidap kanser. Ketua Jabatan boleh meluluskan Cuti Barah Bergaji Penuh sebanyak 24 bulan (730 hari) berdasarkan tempoh-tempoh dalam sijil sakit barah yang dikemukakan oleh pegawai selaras dengan peruntukan Perintah Am 31 Bab C Tahun 1974.
Ini bermakna pegawai perlu mengemukakan permohonan pindaan kelulusan Cuti Bersalin yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan terdahulu iaitu daripada 6 Jun 2018 hingga 4 Ogos 2018 kepada 6 Jun 2018 hingga 31 Julai 2018.