Apakah syarat-syarat yang perlu bagi urusan pemangkuan/ kenaikan pangkat ke Gred DG42?
Skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD digabung menjadi satu Skim Bersepadu PPP, mana-mana PPP berkelayakan diploma yang telah dan akan memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan layak dipertimbangkan pemangkuan/ kenaikan pangkat ke gred DG42 tanpa perlu ditemuduga oleh SPP.
Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran No. 2 Mengikut Peraturan 3 P.U.(A) 24/2010 di dalam Mesyuarat Bil 2 Tahun 2014 telah memutuskan syarat-syarat pemangkuan/ kenaikan pangkat ke Gred DG42 seperti berikut:
(a) disahkan dalam perkhidmatan (bagi Gred DG29);
(b) memiliki:
- ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
- ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
- ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
- ijazah sarjana dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
- ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(c) mencapai tahap prestasi yang ditetapkan iaitu jumlah wajaran Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tiga tahun terakhir hendaklah mencapai 80% dan ke atas dengan pembahagian wajaran sebanyak 20% bagi tahun pertama, 35% bagi tahun ke-2 dan 45% bagi tahun ke-3.
(d) bebas daripada tindakan tatatertib;
(e) telah mengisytiharkan harta;
(f) lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
(g) bebas daripada disenaraikan sebagai peminjam pendidikan tegar dari institusi pinjaman pendidikan; dan
(h) diperakukan oleh Ketua Jabatan.
Bagi PPP yang memenuhi syarat umum dan khusus yang ditetapkan layak dipertimbangkan pemangkuan/ kenaikan pangkat ke Gred DG42.
URUSAN PEMANGKUAN / KENAIKAN PANGKAT PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN BAGI LALUAN HAKIKI