Adakah kelayakan Cuti Rehat Khas (CRK) sebanyak 10 hari boleh dihabiskan/ digunakan sekaligus pada awal tahun?
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8/2017, Cuti Rehat Khas boleh diberikan melebihi dari bilangan yang dilayaki secara prorata/ melangkau tahun terhad kepada 10 hari setahun bagi tujuan-tujuan seperti yang dinyatakan di perenggan 11(e) Pekeliling yang sama, tertakluk kepada peruntukan dan kelayakan mengikut tahun berkaitan.
Pegawai yang telah diluluskan Cuti Rehat Khas melebihi dari bilangan yang dilayaki secara prorata dan kemudiannya tidak dapat memenuhi tempoh perkhidmatan yang melayakkan cuti tersebut pada tahun berkenaan, urusan pemotongan emolumen hendaklah dilakukan sebagai mengganti cuti yang telah terlebih diambil.
Dalam hal ini, pegawai boleh dipertimbangkan CRK melebihi daripada bilangan hari yang pegawai layak secara prorata iaitu selama 10 hari kerana tujuan menghadiri konvokesyen ahli keluarga selaras dengan perenggan 11(e) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8/2017.
Walau bagaimanapun, sekiranya pada tahun 2018, pegawai diluluskan Cuti Haji Bergaji Penuh selama 40 hari, maka kelayakan CRK pegawai akan berkurangan sebanyak 1 hari kerana Cuti Haji adalah termasuk dalam tafsiran “perkhidmatan yang tidak melayakkan” yang mengurangkan kelayakan Cuti Rehat tahunan pegawai. Maka, kelayakan CRK bagi tahun 2018 adalah sebanyak 9 hari. Dalam hal ini, tindakan urusan pemotongan emolumen hendaklah dilakukan sebagai mengganti cuti yang telah terlebih selama 1 hari diambil oleh Ketua Jabatan.