Seorang guru yang bertugas di SMK Jalan Ipoh, Kuala Lumpur telah mendapat tawaran untuk menunaikan umrah mulai 6 Jun 2018 hingga 19 Jun 2018 (14 hari). Adakah perkiraan 7 hari Cuti Umrah mengambil kira tempoh dalam tempoh Cuti Penggal Persekolahan?
Berdasarkan Perenggan 2(d) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3/2017, kaedah pengiraan Cuti Umrah selama 7 hari adalah tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.
Bagi guru yang menunaikan umrah semasa dalam tempoh Cuti Penggal Persekolahan, boleh memilih untuk menggunakan Cuti Penggal Persekolahan atau menggunakan kemudahan Cuti Umrah. Sekiranya guru tersebut memilih untuk menggunakan cuti penggal persekolahan, kaedah pengiraan Cuti Umrah adalah seperti berikut:
Bil
Tarikh/Hari
Status
1.
6/6/2018 (Rabu)
Cuti Umrah (1)
2.
7/6/2018 (Khamis)
Cuti Umrah (2)
3.
8/6/2018 (Jumaat)
Cuti Umrah (3)
4.
9/6/2018 hingga 19/6/2018 (11hari)
Cuti Penggal Persekolahan
Dalam kes ini, pegawai hanya menggunakan kemudahan Cuti Umrah selama 3 hari sahaja, maka baki kelayakan Cuti Umrah selama 4 hari tidak boleh di bawa ke hadapan. Ini adalah kerana kemudahan Cuti Umrah diberikan sekali sahaja (one-off) sepanjang tempoh perkhidmatan, yang meliputi perkhidmatan di bawah semua Pihak Berkuasa Melantik selaras dengan perenggan 2(g) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3/2017.